Wednesday 9 October 2013

Majlis Ilmu & Penyampaian Bantuan Fiddiyah Daerah Jempol


JEMPOL - Sejumlah RM13'000 telah dikeluarkan pihak Baitulmal MAINS bagi 130 penerima bantuan Fiddiyah dari 8 kariah di daerah ini menerima RM100 setiap orang, dimana penerima tersebut di kalangan asnaf fakir miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Pegawai Baitulmal MAINS Daerah Jempol, Cik Nursyahidah Abu Bakar, menjadi matlamat Baitulmal untuk memberi tumpuan kepada golongan asnaf selain menjadikan setiap program penyampaian tersenbut dihiasi dengan majlis-majlis ilmu.

"Bagi pihak Baitulmal, amat berharap sambutan yang menggalakkan dalam setiap sesi majlis ilmu diadakan, dapat memberi iktibar dan manfaat kepada masyarakat bukannya sekadar hadir untuk menerima bantuan," jelasnya yang turut menyampaikan bantuan tersebut.

Penerima yang mendapat bantuan Fiddiyah tersebut turut melahirkan rasa syukur atas sumbangan yang sedikit sebanyak meringankan mereka dalam meraikan Aidiladha tidak lama lagi.

Terdahulu para penerima disajikan dengan ceramah ilmu oleh Ustaz Zulkiffli A Rahman, Imam Masjid Kariah Mahsan.

Program Taklimat Usahawan Asnaf, Masjid Bandar Baru Senawang


Senawang – Pejabat Baitulmal Daerah Seremban, Majlis Agama Islam (MAINS) telah menganjurkan ‘Taklimat Usahawan Asnaf’ khusus bagi golongan asnaf yang menerima bantuan bulanan daripada Pusat Baitumal Daerah Seremban dan bertempat di Masjid Bandar Baru Senawang.

Taklimat ini diadakan bertujuan bagi memberi pendekatan dan pendedahan kepada golongan asnaf yang sedang dan ingin menjalankan perniagaan. Pada masa yang sama, para peserta telah diberi pendedahan melalui sesi bersama fasilitator jemputan.

Antara fasilitator yang terlibat dalam memberi penerangan adalah Pengurus Usahawan Koperasi & Komuniti Lestari, Megat Mohd Azlan bin Md. Arshad dimana beliau memberi penerangan mengenai kemana hala tuju sesebuah perniagaan yang dijalankan.

Fasilitator kedua adalah Jurulatih Usahawan Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad (KBI), Dr. Abdul Malik bin Abdul Shukor. Beliau pula menerangkan konsep usahawan berjaya dan pemasaran yang berkesan bagi meluaskan jurang dan peluang perniagaan usahawan.

Seramai 50 peserta terdiri daripada penerima bantuan bulanan asnaf telah menghadirkan diri ke taklimat tersebut. Sesi taklimat ini disempurnakan oleh Pengarah Baitumal Negeri, YBhg Ustaz Zainal Said dalam ucapan beliau turut mengesa para peserta supaya mencari dan mengambil segala peluang keemasan yang diberi melalui sesi taklimat ini dan mempraktikkan segala ilmu yang diperolehi supaya dapat menjadi seseorang yang lebih berjaya.

Turut hadir, Pegawai Baitulmal MAINS Daerah Seremban, Ustaz Shamsuddin bin Abdullah.

Majlis Menandatangani MoU & MoA Antara UiTM Dengan PKNNS & PZNS


Majlis Menandatangani MoU Antara UiTM Dengan Perbandanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan dan Majlis Menandatangani MoA Antara UiTM Dengan Pusat Zakat Negeri Sembilan.

Tempat : The Royale Bintang Resort & Spa, Seremban
Tarikh/Masa : 7 Oktober 2013 / 3.00 ptg – 5.00 ptg

Seremban – Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) dan juga memorandum perjanjian dengan Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) yang bertempat di The Royale Bintang Resort & Spa.

Objektif memorandum persefahaman (MoU) bersama PKNNS ini adalah signifikan dalam membina kerjasama daripada beberapa aspek antaranya pembangunan perniagaan, kerjasama pembudayaan keusahawanan dan latihan industri kepada mahasiswa UiTM. Rundingan kerjasama dan konsultasi dalam bidang penyelidikan, inovasi, pengkomersialan dalam bidang pertanian, bioteknologi dan teknologi makanan juga antara salah satu tujuan utama jalinan kerjasama ini diwujudkan.

Selain itu, kerjasama di antara PZNS dengan UiTM juga dilihat mampu memberi impak dalam pelbagai aspek. Hubungan kerjasama ini akan memudahkan pembayaran kutipan zakat secara walk – in dan Skim Potongan Zakat Berjadual (SPZB) untuk kakitangan dan keluarga terdekat kakitangan UiTM di seluruh Negeri Sembilan.

Majlis ini disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, YB Dato’ Dr. Haji Awaludin bin Said. Beiau turut memuji dan memberi galakan dalam usaha sama yang akan terjalin melalui Mou dan MoA antra UiTM dengan PKNNS dan PZNS ini.

Hadir sama, Setiausaha MAINS, YBhg. En. Kamal Amran bin KAmarudin, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UiTM, Yang Berusaha Prof. Ir. Dr. Haji Abdul Rahman Omar, Ketua Eksekutif PKNNS, YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusof Yunus serta Pengerusi Lembaga Pengarah PKNZ, YBhg. Dato’ Haji Razak Mansor.

Sesi Taklimat Isu Pengajian & Keselamtan Pelajar Tajaan MAINS Mesir


Tempat : Pusat Dakwah Islamiah, Paroi
Tarikh/Masa : 6 Oktober 2013 / 2.00 ptg – 6.30 ptg

Seremban – Taklimat Isu Pengajian dan Keselamatan Pelajar Tajaan MAINS Mesir telah dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi.

Sesi taklimat ini bertujuan memberi penjelasan mengenai status sebenar keadaan semasa di Mesir dan memberi penerangan mengenai dana yang disalur daripada pihak MAINS. Sesi dimulakan dengan sesi dialog oleh 3 orang panel jemputan.

Sesi dialog dimulakan oleh moderator Ustaz Omar Mokhtar bin Md Yunus dan antara panel adalah Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysi, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abd. Mukti sebagai panel pertama yang membincangkan mengenai pengajian pelajar di Mesir.

Seterusnya, panel kedua dari Majlis Keselamatan Negeri, En Hamzah bin Ishak yang memberi penjelasan mengenai keselamatan dan jaminan kerajaan mengenai keadaan di Mesir dan yang ketiga adalah Setiausaha MAINS, En. Kamal Amran bin Kamarudin yang memberi dialog mengenai dana tajaan MAINS.
Taklimat disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan dan diakhiri dengan penyampaian Skim Pemansuhan dan Potongan Pinjaman Pelajar Tajaan MAINS.

MAINS Johan Konvensyen QE/5S Kebangsaan


Tempat : Gambang WaterPark, Kuantan Pahang.
Tarikh : 3 Oktober 2013

MAINS sekali lagi melakar sejarah dalam Konvensyen QE/5S Peringkat Kebangsaan dengan merangkul gelaran sebagai Johan dalam kategori Sektor Awam Negeri.
Terdahulu sebelum itu MAINS telah membuat persembahan berbentuk Talk Show bertemakan 70's Afro pada 2 Oktober 2013 yang turut dihadiri oleh Tuan Kamal Amran b. Kamarudin Setiausaha MAINS.

Tahniah diucapkan kepada semua warga kerja MAINS. Kejayaan ini tidak dicapai tanpa komitmen anda semua.