Monday 17 November 2014

Program Jom Baca di Perpustakaan Semai Sikap Suka Membaca Kalangan Asnaf



Tempat : Dataran Felda Pasoh 1
Tarikh : 18 Nov 2014 / 25 Muharram 1436H


PASOH - Dalam memartabatkan bahasa dan budaya membaca agar menjadi satu amalan setiap generasi disamping melihat setiap golongan asnaf mempunyai pengetahuan dengan amalan membaca itu sendiri, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasoh 1 telah menganjurkan program Jom Membaca di Perpustakaan yang bertempat di Dataran Felda Pasoh 1, hari ini.

Bagi mencapai matlamat tersebut, pelbagai pendekatan telah diambil untuk menarik lebih ramai lagi masyarakat dari pelbagai peringkat umur untuk membaca dan meluaskan lagi ilmu pengetahuan.

Bagi MAINS, seramai 35 penerima bantuan asnaf fakir miskin telah melibatkan diri dengan kempen Jom Membaca itu.

Dalam program yang sama juga, pihak Baitulmal Daerah Jelebu turut memperuntukkan sejumlah RM3,500 bagi menyampaikan sumbangan kepada asnaf tersebut dimana setiap orang menerima RM100 seorang.

Pelbagai acara turut disertai para asnaf dalam program yang diadakan itu antaranya pertandingan gubahan, mewarna bagi kanak-kanak serta pembaca paling aktif.

Majlis penyampaian bantuan asnaf telah disempurnakan Tuan Haji Dol Ramli bin Mustafa, Setiausaha UMNO Bahagian Jelebu yang juga wakil kepada ADUN Pertang, YB Dato' Hj. Jalaludin Alias.

Turut hadir, Pegawai Daerah Jelebu, Tuan Hj. Mohamad Roduan bin Ujang, Penolong Pengarah PPANS, Encik Ridhuan bin Yusop dan Pegawai Baitulmal Daerah Jelebu, Puan Sharifah Mashitah bte Syed Mokhtar.

Unit Media - Mizi

Sunday 16 November 2014

Program Sambutan Maal Hijrah Bersama Saudara Muslim Daerah Rembau




Tarikh : 16 November 2014 (Ahad)
Tempat : Surau Al-Hidayah Kg.Pabai, Rembau

Masjid Kariah Miku Lama telah menganjurkan program Sambutan Maal Hijrah bersama Saudara Muslim bagi daerah Rembau.

Program yang dianjurkan bersama Pejabat Agama Islam Daerah Rembau dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan ini merupakan salah satu bentuk program yang diadakan bagi mengeratkan lagi jalinan ukhwah sesama saudara baru dan pegawai-pegawai agensi agama dan mengenali mereka dengan lebih dekat.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Ustaz Abd.Bassit bin Omar, Pegawai Agama Islam Daerah Rembau.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut adalah ceramah motivasi bertajuk "Jom Berubah' yang disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Pencetus Ummah Ustaz Mohd Fakhrul Islam bin Md.Zarin. Selain itu, pertandingan ilmiah dan sukaneka turut diadakan bagi memeriahkan lagi program tersebut.

KURSUS MEMBINA KELUARGA SAKINAH




Tempat : Palm Mall Hotel Seremban
Tarikh : 16 November 2014 / 23 Muharram 1436H

SEREMBAN – Kesinambungan Kursus Keluarga Sakinah daerah Seremban diadakan lagi di Dewan Palm Mall Hotel.

Kursus yang berjalan selama dua hari iaitu 15 November 2014 sehingga 16 November 2014 ini mendedahkan para peserta tentang membentuk keluarga sakinah yang bahagia berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Pihak baitulmal daerah Seremban memperuntukan sebanyak RM 8000 yang diberikan kepada 80 asnaf fakir miskin. Dimana setiap asnaf menerima RM 100 setiap orang yang akan disampaikan oleh Pegawai baitulmal daerah Seremban, Puan Nur Fairusha binti Remali.

Hadir bersama penceramah dari AFK ASIA En. Haslizar bin Rozali.