Tuesday 29 October 2013

Jangan Rosakkan Akidah Umat Islam


SEREMBAN 28 Okt. – Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam sebarang aktiviti menggugat akidah umat Islam termasuk ajaran Syiah Imamiah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, amaran telah diberikan dan pewartaan menghalang ajaran itu sudah dibuat.

”Jangan ingat kita tidak pantau atau tidak tahu apa yang mereka lakukan. Kita tahu gerakan mereka dan jangan salahkan kerajaan jika individu terlibat ditahan.

”Tindakan tegas akan diambil dan amaran sudah diberikan. Jangan rosakkan akidah umat Islam dan kerajaan sedang mengumpulkan semua bukti,” katanya di sini hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika mengulas program penjelasan dan pencerahan bahaya ancaman Syiah Imamiah yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini.

Menurut beliau, terdapat pelbagai ajaran Syiah dan paling ekstrem adalah puak Syiah Imamiah kerana ada ahli kumpulan tersebut mengkafirkan orang lain dan menghalalkan darah umat Islam yang menentang ajaran mereka.

”Puak ini beroperasi secara berselindung dan sampai satu peringkat mereka wajib berbohong jika terdesak. Syiah Imamiah ini tidak boleh bertolak ansur jika ajaran yang dibawa tergugat, malah pengikutnya boleh melakukan apa sahaja keputusan drastik dan bahaya,” katanya.

Mohamad yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkata, antara penyelewengan Syiah Imamiah berkaitan perkara ketuhanan ialah mendakwa Saidina Ali adalah tuhan mereka.

”Jangan pandang ringan hal ini kerana ia ada elemen yang memporak-perandakan akidah umat Islam sehingga boleh mendorong kepada permusuhan dan menghancurkan negara,” katanya.

TAKLIMAT & PENERANGAN DOKTRIN SYIAH IMAMIAH BERKAITAN AL-QURAN


SEREMBAN, 28 Oktober 2013 - Doktrin Syiah Imamiah Berkaitan Al-Quran memberi penjelasan khusus berkenaan amalan syiah yang kini semakin berleluasa dan makin menular dalam masyarakat di Malaysia.

Sehubungan itu, taklimat dan penerangan yang diadakan di Dewan Theaterette, Wisma Negeri hari ini, bertujuan dapat merungkai kefahaman tentang gejala syiah tatkala ini.

Menurut Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Tuan Kamal Amran Kamarudin, pihak MAINS turut memandang serius akan perkara ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam memperkatakan isu syiah yang boleh memesongkan akidah sebagai umat Islam.

Seramai 280 orang telah hadir dalam taklimat Doktrin Syiah Imamiah yang dianjurkan bersama Pejabat Seiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.

Taklimat dan ceramah mengenai isu syiah telah disampaikan oleh YBhg. Dato' Haji Muhammad Fuad Kamaludin Al-Maliki, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Turu hadir, Pegawai Seketeriat Mahasiswa/wi Timur Tengah (SMATT), Ustaz Mohd Noor Uzairi Adam.