Friday 13 September 2013

Lawatan Kerja Program 5S JAWI ke MAINS



Kejayaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dalam perlaksanaan Amalan 5S mendapat perhatian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) apabila membuat lawatan kerja ke pejabat MAINS hari ini.

Lawatan JAWI ke MAINS adalah untuk berkongsi kejayaan dan pengalaman dalam menjadikan institusi awam menghasilkan peningkatan kualiti dan produktiviti dalam perlaksanaan 5S.

Ketibaan rombongan JAWI yang diketuai En. Mahyudin Bin Sulaiman disambut baik oleh Setiausaha MAINS, Tn. Kamal Amran Bin Kamarudin serta pegawai-pegawai MAINS.

Pada pertemuan itu, rombongan JAWI disambut dengan Salam Ukhuwah dari Setiausaha MAINS sebelum delegasi diberi taklimat pembentangan perlaksanaan 5S oleh Koordinator QE/5S MAINS.

Umumnya, Amalan 5S merupakan alat pengurusan persekitaran berkualiti yang
dipelopori oleh Jepun dengan penumpuan kepada lima (5) langkah tindakan pelaksanaan yang bermula dengan huruf awalan ‛S‟ yang bermatlamatkan pengurusan amalan kebersihan yang bersistematik. Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke adalah perkataan Jepun yang diringkaskan menjadi 5S. Dalam Bahasa Melayu memberi maksud Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.

MAINS ANJUR KONVOI KEMBARA ZAKAT NS 2013

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah mengadakan Konvoi Kembara Zakat Negeri Sembilan pada 4 hingga 5 Jun 2013 dengan bertemakan "Zakat Satu Kewajipan Sejuta Harapan". 
Konvoi ini telah menjelajahi daerah-daerah di Negeri Sembilan bertujuan untuk menjejaki golongan yang berkelayakan menerima bantuan dari dana zakat. Program ini akan memberi kefahaman kepada umat Islam tentang ke manakah wang zakat disalurkan dan betapa besarnya hikmah zakat kepada umat Islam yang memerlukan. Peserta konvoi akan terus ke pintu rumah asnaf untuk menyelami jerih-perih kehidupan mereka seterusnya menyampaikan bantuan zakat di sepanjang konvoi tersebut. 
Program selama 2 hari tersebut dianjurkan oleh MAINS dengan kerjasama Baitumal Negeri Sembilan, Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS), Pusat Kaunseling MAINS, Sekretariat Mahasiswa Timur Tengah (SMATT) bersama media rasmi Radio Negeri Fm dan Akhbar Sinar Harian. Konvoi tersebut juga telah diiringi oleh 3 buah motorsikal dan sebuah kereta peronda polis bagi melancarkan perjalanan kenderaan konvoi dengan melibatkan 17 kenderaan. 
Sebanyak 323 keluarga asnaf di sekitar negeri ini menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dalam konvoi kembara zakat tersebut. 
Program ini bukan sahaja menyampaikan bantuan kewangan malah turut menyalurkan bantuan perubatan, barang keperluan harian, kerusi roda serta katil untuk kegunaan asnaf yang memerlukan. Pihak MAINS juga menyediakan 2 orang doktor perubatan yang telah mendapat tajaan dari dana zakat untuk memberi khidmat pemeriksaaan kesihatan kepada para asnaf di sepanjang persinggahan konvoi tersebut. 
Bantuan ini berbeza mengikut keperluan penerima dan ini merupakan konvoi kali pertama yang diadakan dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan. Antara lokasi yang dilawati dan disampaikan bantuan adalah daerah Seremban (enam keluarga asnaf), Rembau (190 keluarga), Tampin (dua keluarga), Gemas (120 keluarga) serta Jempol (tujuh keluarga). 
Selain memberi bantuan kepada keluarga asnaf peserta konvoi turut beramah mesra bersama 36 keluarga Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Panchor dekat Jeram Padang, Jempol. 
Peserta konvoi telah membuat kunjungan rumah ke rumah dan menyampaikan sedikit bantuan barang keperluan harian. Daripada 36 buah rumah hanya lima buah rumah sahaja merupakan rumah penghuni beragama Islam. 
Ini cara pihak MAINS untuk menyampaikan dakwah dengan cara turun padang mendekati mereka. Peserta konvoi juga menerima layanan baik walaupun ke rumah masyarakat bukan Islam. Selepas mengadakan lawatan ke rumah orang asli peserta konvoi turut mengajak masyarakat Orang Asli bermain futsal. 
Pada hari pertama, peserta konvoi telah singgah di lima rumah asnaf di daerah Seremban bagi meninjau kehidupan mereka iaitu seorang asnaf dari Taman Seri Pagi, dua orang asnaf dari Rumah Pangsa Senawang dn Taman Tuanku Najihah. 

Persinggahan seterusnya pada hari yang sama di Kariah Masjid Kampung Batu Rembau, dimana berlangsungnya majlis penyampaian bantuan kepada 190 orang asnaf termasuk muallaf. Hadir sama, Adun Kota YB Dato’ Dr. Awalluddin Said disamping beliau menyampaikan bantuan dana zakat.
Kembara diteruskan dan singgah di dua rumah asnaf di Kampung Keru, Tampin dan Masjid Kampung Londah Gemas. Pelbagai aktiviti diadakan di masjid antaranya sukaneka bersama penduduk, ceramah motivasi kepada golongan asnaf dan gotong- royong mengecat masjid. 
Aktiviti sebelah malamnya pula, penduduk kampung yang hadir telah dihiburkan dengan persembahan dari penyiar Radio Negeri Fm dan selepas itu diadakan Forum Perdana bertajuk “Zakat 1 Kewajipan Sejuta Harapan”. YB. Tuan Abd. Razak Bin Said ADUN Gemas turut hadir pada program tersebut. 
Hari kedua pula, ahli konvoi menjelajah ke daerah Jempol dengan membuat kunjungan di enam buah rumah asnaf, dua di Rompin, seorang di Kampung Kuala Jempol dan Kampung Serting Hilir dan tiga di kampung Gajah Mati. Kunjungan terakhir peserta konvoi berakhir di Kampung Orang Asli Panchor, Jempol. Pada majlis tersebut Ybhg Ustaz Selamat bin Paigo, Ketua Penolong Pengarah JHEAINS telah hadir sama seterusnya merasmikan acara penutup program. 
Semoga usaha yang dilakukan ini akan dapat menyampaikan dana zakat dengan lebih berkesan, telus dan secara terus ke golongan yang benar-benar memerlukan bantuan. MAINS bercadang untuk melaksanakan program konvoi ini secara tahunan bagi memastikan amanah untuk mengagihkan zakat dapat dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin.