Wednesday 4 September 2013

MAINS Wujudkan Sistem Pengurusan e-Masjid Pertama Di Malaysia

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) buat julung kalinya telah memperkenalkan sistem Pengurusan E-Masjid bagi setiap organisasi masjid di seluruh negeri ini.

Seramai 44 peserta dari 22 masjid di seluruh daerah Port Dickson telah diberi taklimat khusus mengenai program yang baru diperkenalkan itu.

Taklimat yang diadakan itu bertujuan memberi penerangan kepada Jawatankuasa Masjid dalam menjalankan tanggungjawab dan peranan utama sebagai penggerak agama dan memastikan masjid sebagai institusi ilmu yang luas.

Menurut penceramah taklimat En. Muhammad Firdaus Abas, matlamat wujudnya sistem e-masjid ini juga adalah untuk menjadikan masjid sebagai Institusi Dakwah, Sumber Ilmu, Pusat Penyelesaian Masalah, Kursus dan Kaunseling Rumahtangga, Medan Remaja Berhimpun dan menjadi sebagai Pusat Hub Makanan Halal.

Seawal majlis, peserta disajikan dengan tazkirah penerangan direktori MAINS oleh En. Mohd Noor Uzairi Adam dari Bahagian Sekretariat Timur Tengah (SMATT) sebelum sessi ceramah dari penceramah udangan, Ustaz Sabri Abdul Rani.

Pengenalan Sistem e-Masjid

• Satu sistem yang telah dibangunkan oleh MAINS
• Sebagai satu pengkalan data masjid-masjid di Negeri Sembilan
• Agensi yang pertama di Malaysia, membangunkan sistem pengurusan masjid secara elektronik dan menyeluruh
• Menaikkan imej masjid sebagai pusat perkembangan dakwah Islamiah

Objektif e-Masjid

• Menyalurkan maklumat yang tepat kepada jemaah setempat mengenai aktiviti masjid
• Menyelaras data-data masjid bagi tujuan pengurusan yang efisyen
• Memudahkan kerja-kerja menyelaras aktiviti masjid
• Mencerminkan imej Islam yang terkehadapan dalam Teknologi Maklumat