Sunday 16 November 2014

Program Sambutan Maal Hijrah Bersama Saudara Muslim Daerah Rembau




Tarikh : 16 November 2014 (Ahad)
Tempat : Surau Al-Hidayah Kg.Pabai, Rembau

Masjid Kariah Miku Lama telah menganjurkan program Sambutan Maal Hijrah bersama Saudara Muslim bagi daerah Rembau.

Program yang dianjurkan bersama Pejabat Agama Islam Daerah Rembau dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan ini merupakan salah satu bentuk program yang diadakan bagi mengeratkan lagi jalinan ukhwah sesama saudara baru dan pegawai-pegawai agensi agama dan mengenali mereka dengan lebih dekat.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Ustaz Abd.Bassit bin Omar, Pegawai Agama Islam Daerah Rembau.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut adalah ceramah motivasi bertajuk "Jom Berubah' yang disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Pencetus Ummah Ustaz Mohd Fakhrul Islam bin Md.Zarin. Selain itu, pertandingan ilmiah dan sukaneka turut diadakan bagi memeriahkan lagi program tersebut.

KURSUS MEMBINA KELUARGA SAKINAH




Tempat : Palm Mall Hotel Seremban
Tarikh : 16 November 2014 / 23 Muharram 1436H

SEREMBAN – Kesinambungan Kursus Keluarga Sakinah daerah Seremban diadakan lagi di Dewan Palm Mall Hotel.

Kursus yang berjalan selama dua hari iaitu 15 November 2014 sehingga 16 November 2014 ini mendedahkan para peserta tentang membentuk keluarga sakinah yang bahagia berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Pihak baitulmal daerah Seremban memperuntukan sebanyak RM 8000 yang diberikan kepada 80 asnaf fakir miskin. Dimana setiap asnaf menerima RM 100 setiap orang yang akan disampaikan oleh Pegawai baitulmal daerah Seremban, Puan Nur Fairusha binti Remali.

Hadir bersama penceramah dari AFK ASIA En. Haslizar bin Rozali.

Istiadat Mengadap Pusaka Adat Wilayah Tampin & Serah Kunci Balai




Tempat: Balai YTM Tunku Besar Tampin
Tarikh: 15 November 2014 / 22 Muharram 1436H

TAMPIN- Istiadat Mengadap Pusaka Adat Wilayah Tampin Permasyuran Khalifah Persilatan Gerakan Suci Mangkabumi Dan Serah Kunci Balai Tunku Besar Tampin telah didakan hari ini.

Istiadat yang diadakan hari ini adalah kali ke empat dibawah pemerintahan Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri sebagai Tunku Besar Tampin.

Didalam titahnya, Yang Teramat Mulia berharap istiadat seperti ini dapat diteruskan bagi santapan generasi akan datang memandangkan hanya di Negeri Sembilan adat pepatih diamalkan sejak zaman berzaman. Adat pepatih di Negeri Sembilan khasnya di wilayah Tampin banyak membantu masyarakat didalam sosio budaya yang harmoni aman dan damai.

Tambah Yang Teramat Mulia lagi adat istiadat seperti ini harus dikekalkan biarpun merentasi pembangunan berteknologi tinggi bersesuaian dengan ungkapan “ tak lapok dek hujan, tak lekang dek panas”.

Seawal majlis, Yang Teramat Mulia menziarahi makam Almarhum Tunku Syed Shaaban bin Ibrahim di Keru Hilir dan menziarahi Makam Almarhum Tunku Syed bin Tunku Syed Muhammad serta bacaan tahlil diadakan serta di ikuti dengan Permasyuran Khalifah Persilatan Gerakan Suci Mangkabumi Dan Serah Kunci Balai Tunku Besar Tampin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato Mat Ali bin Hasan, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sohibus Samahah YB Dato’ Hj Mohd Yusof bin Ahmad dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Tuan Haji Kamal Amran bin Kamarudin. Berita selanjutnya sila layariwww.mains.gov.my

Program "Mukhayyam Al 'Arobiyyah



Tarikh : 07-09 November 2014
Tempat : Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Panitia Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan Sikamat telah menganjurkan program Mukhayyam Al 'Arobiyah untuk pelajar-pelajar sekolah tersebut. 

Program yang dianjurkan bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini disertai seramai 80 orang pelajar, 22 fasilitator dan 28 pelajar UIA. 

Bertemakan "Generasi Berilmu Memacu Ummah", program ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai kepentingan berilmu selain menyuntik semangat pelajar untuk meneruskan pelajaran ke menara gading. Turut diselitkan dalam program tersebut adalah aktiviti kerohanian dan latihan dalam kumpulan. 

Kebanyakan peserta amat terkesan dengan program yang diadakan ini dan berazam untuk terus berusaha melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. 

Majlis Penyampaian Sijil Kursus Mangkuk Tingkat Dot Com


Tempat : Dewan Ballroom Palm Mall Hotel, Seremban
Tarikh : 11 Nov 2014 / 18 Muharram 1436H

SEREMBAN - Hasrat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan melalui Baitulmal untuk melahirkan golongan asnaf yang mampu membina kehidupan yang lebih baik agar terus keluar dari kepompong kemiskinan.

Melalui program pembangunan asnaf yang telah digerakkan sekian lamanya, hari ini seramai 210 orang asnaf berjaya menginjakkan diri ke arah lebih sempurna dengan memiliki kemahiran dan pengalaman untuk dijadikan teras sebagai seorang usahawan berjaya.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), sentiasa prihatin untuk memastikan peningkatan taraf hidup dirasai oleh golongan penerima bantuan asnaf baitulmal amnya.

Justeru, program Kursus Mangkuk Tingkat Dot Com yang dijalankan selama setahun yang lalu telah membuktikan kebolehan 210 peserta dari kalangan asnaf untuk mengubah kehidupan dengan menimba ilmu kemahiran memasak dan jahitan.

Program yang dijayakan oleh Mangkuk Tingkat Dor Com itu, turut berjaya melahirkan usahawan yang kini berpendapatan puluhan ribu ringgit.

Majlis Penyampaian Sijil Kursus Mangkuk Tingkat Dot Com telah diadakan di Palm Mall Hotel bagi meraikan kejayaan peserta sekaligus menjadi kebanggaan pihak MAINS kerana peningkatan ilmu pengetahuan yang mereka sertai bakal menjamin masa depan yang lebih gemilang.

Majlis penutup penyampaian sijil itu telah disempurnakan oleh Setiausaha MAINS, Tuan Haji Kamal Amran bin Kamarudin.

Turut hadir, Pengurus Mangkuk Tingkat Dot Com, Encik Khairul Anwar serta Pengurus Baitulmal Negeri, Ustaz Zainal bin Said.

Terdahulu, para peserta telah dihidangkan dengan perkongsian ilmu dan pengalaman usahawan yang kini berjaya dipersada perniagaan iaitu, Pengasas B'zura Skin Care, Puan Azura bte Baharudin dan Pengarah Eksekutif Solizha World Sdn Bhd, Puan Soliha bte Ahmad.

MAJLIS KONVENSYEN PERWARISAN HARTA ISLAM KALI KE-3



Tempat : Auditorium D’Sury Kompleks Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negeri Sembilan
Tarikh : 05 November 2014 / 12 Muharam 1436H

SEREMBAN – Konvensyen Perwarisan Harta Islam Kali Ke-3 teruskan lagi di Auditorium D’Sury Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian. 

Bagi mengupas isu-isu semasa dalam bentuk pembentangan kertas kerja oleh mereka yang pakar dalam bidang pengurusan kewangan islam dan perwarisan harta.

Diskusi yang melibatkan empat ahli panel ini membentangkan tentang topik perwarisan harta dalam islam wanita, perwarisan harta dan pengurusan kewangan dari sudut ‘Islamic World View’, cabaran pentadbiran harta pusaka kecil dan perunding kewangan syariah.

Keempat-empat kertas kerja dibentangkan dari panel yang bertauliah tentang pewarisan harta islam.

Majlis penutup Konvensyen Perwarisan Harta Islam Kali Ke-3 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan I Yang Berhormat Datuk Hj Ahmad Bin Hj Maslan. Berita penuh sila layari www.mains.gov.my

MAJLIS TAUHID DAN KASIH SAYANG



Tempat : Kompleks Al-Sa’adah
Tarikh : 08 November 2014 / 15 Muharam 1436H

SEREMBAN – Kalimah TAUHID bukan sahaja membawa pengertian mengetahui, berikrar, mengakui, mempercayai dan meyakini bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah hanyalah Allah SWT semata-mata; bahkan tidak sempurna sesebuah ketauhidan melainkan setelah kita turut sama merasai bahawa Allah SWT itu Maha ESA pada segala Perbuatan, Nama, Sifat dan Zat-NYa.

Juteru itu, Kolej MARA Seremban dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah mengadakan Majlis Tauhid dan Kasih Sayang 2014 bertempat di Kompleks Al- Sa’adah, Rahang Seremban. Program yang menyentuh kepada pelbagai aspek kehidupan masyarakat agar dapat membentuk masyarakat yang bukan sahaja mampu bercakap tentang Tauhid malahan dapat melahirkan masyarakat berkasih sayang.

Hadir sama, Pengarah Kolej Mara, Dr Syed Anwar Aly bin Mohamad Abu Bakar, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Tuan Haji Kamal Amran bin Kamarudin dan Pengurus Kompleks Al- Sa’adah Rahang, Encik Muhammad Adnan bin Abdullah.

PROGRAM KELUARGA SAKINAH DAERAH PORT DICKSON



Tempat : Masjid Qariah Abdullah Sijang, Port Dickson
Tarikh : 09 November 2014 / 16 Muharram 1436H

PORT DICKSON- Setiap insan seringkali mengimpikan sesebuah keluarga yang bahagia, aman, sejahtera serta ideal yang terbentuk dengan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Justeru itu, dalam merealisasikan impian tersebut, baitulmal daerah Port Dickson memperuntukkan sebanyak RM20,000 bagi mengadakan Program Keluarga Sakinah yang telah diadakan selama dua hari bermula dari 08 November 2014 sehingga 09 November 2014 bertempat di Dewan Masjid Qariah Abdullah Sijang Port Dickson.

Program yang mendedahkan para peserta tentang Asas Fardhu Ain, Solat Jenazah serta cara mendidik keluarga sakinah itu dihadiri hampir 50 asnaf dan fakir miskin daerah Port Dickson.

Hadir sama, Penceramah dari Sinar Khalifah, Ustaz Hairul Anuar. Berita sepenuhnya sila layari www.mains.gov.my