Sunday 8 September 2013

Balai Cerap Kompleks Baitul Hilal Teluk Kemang


Balai cerap di Kompleks Baitul Hilal, Teluk Kemang di sini yang mula beroperasi bulan lalu, bakal menjadi daya tarikan terbaru pusat peranginan Port Dickson.

Memiliki teleskop tercanggih di Asia Tenggara serta terbesar di Malaysia bernilai RM1.8 juta, balai cerap itu menjadi pusat kegiatan melihat anak bulan, kajian bintang dan sistem cakerawala bagi menjana kemajuan ilmu falak. Balai cerap ini juga satu usaha meningkatkan kesedaran dalam bidang astronomi pada kalangan pelajar dan orang ramai.

Antara kemudahan yang terdapat di balai cerap setinggi dua tingkat itu ialah dewan yang boleh menampung 200 orang, surau dan bilik kuliah serta galeri yang menempatkan bahan sejarah berkaitan cerapan dan astronomi dalam Islam.

Pengurusan balai cerap ini dilakukan secara usahasama antara Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan Universiti Malaya (UM). Selain balai cerap, Kompleks Baitul Hilal yang terletak di atas kawasan seluas 1.2 hektar itu turut menempatkan sebuah hotel iaitu Klana Beach Resort Port Dickson.

Hotel setinggi tiga tingkat dengan 82 bilik serta tiga apartmen itu mula beroperasi Disember lalu dan tetamunya mempunyai akses untuk terbabit dalam program cerapan anak bulan hijrah yang akan dilakukan setiap bulan oleh jabatan mufti dan UM. 

Projek pembinaan balai cerap dan hotel tersebut adalah usahasama antara Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) yang merupakan pemilik tanah.

Projek menelan belanja RM30 juta yang mana RM18 juta dibiayai melalui peruntukan Jawhar manakala selebihnya peruntukan MAINS.

1 comment:

  1. Saya bercadang melawat menara cerapan bersama kakitangan kastam KLIA. Pada sape saya perlu memohon.
    Tajul Urus Dawam
    HP 019-36581428
    Email: tajulstorm@yahoo.com

    ReplyDelete