Tempat : Kg. Orang Asli Sawah Sunggala, Port Dickson & Masjid Kariah Nerasau, RembauTarikh : 17 Oktober 2013
Port Dickson – Pejabat Baitulmal MAINS Daerah Port Dickson telah menganjurkan “Program Ibadah Korban Bersama Asnaf” bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1434H/2013 bertempat di Kg. Orang Asli Sawah Sunggala, Port Dickson.
Pihak Baitulmal telah menyumbang perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM 6,000 termasuk peralatan serta seekor lembu untuk dibahagikan kepada 40 orang asli. Program ini dilakukan secara gotong royong antara penduduk Kg Orang Asli Sawah Sunggala serta agensi penyumbang.
Program ibadah korban ini dijalankan dengan kerjasama antara Pejabat baitulmal MAINS Daerah Port Dickson, Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM), PENGGERAK Orang Asli, Jabatan kebajikan Orang Asli (JAKOA) dan Pejabat Agama Islam Daerah Port Dickson.
Sementara itu, di Rembau turut diadakan Program Ibadah Korban Bersama Asnaf anjuran pihak Baitulmal MAINS Daerah Rembau yang melibatkan 8 kariah masjid daerah Rembau telah berlangsung di Masjid Kariah Nerasau, Rembau.
Program ini dijalankan bagi berkongsi kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha kepada golongan asnaf dan fakir miskin. Seramai 182 asnaf dan fakir miskin telah menerima sumbangan makanan dan daging korban. Sebanyak 3 ekor lembu telah disumbangkan oleh Pejabat Baitulmal MAINS daerah Rembau.
Program ini disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB. Dato’ Dr. Hj Awaludin bin Said.
Hadir sama, Pengurus Baitulmal MAINS, Ybhg. Ustaz Zainal bin Said serta Ketua Eksekutif Pusat Kaunseling MAINS, Ybhg. Tuan Hj Norazman Amat.





GEMENCHEH - Baitulmal MAINS Daerah Tampin telah menganjurkan Majlis Ibadah Korban sempena Hari Raya Aidiladha 1434H dan Penyampaian Bantuan Fidyah kepada Asnaf Fakir Miskin daerah ini di Masjid Sg. Dua, dekat sini.
Program yang memberi pendekatan ukhuwah antara masjid dan para asnaf itu merupakan acara tahunan bagi pihak Baitulmal Tampin dalam menyemarakkan lagi perayaan Hari Raya Korban.
Sebanyak 3 ekor lembu telah dikorbankan dan diagihkan kepada 144 penerima yang terdiri daripada asnaf fakir miskin dan warga emas. Bantuan fidyah juga turut disalurkan dalam majlis itu dimana penerima dari 7 buah kariah mendapat sumbangan RM200 setiap orang. Secara keseluruhan, pihak Baitulmal MAIINS telah memperuntukkan RM28'800 bagi sumbangan tersebut.
Tempat : Masjid Sg Machang Hulu, Lenggeng
Tarikh : 15 Oktober 2013
Seremban – Pejabat Baitulmal MAINS Cawangan Seremban meneruskan tradisi dengan mengadakan program ibadah korban bersama golongan asnaf dan fakir miskin bertempat di Masjid Sg. Machang Hulu, Lenggeng yang melibatkan 3 kariah iaitu Sg Machang Hulu, Ulu Beranang dan Lenggeng
Program diadakan bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan bertujuan bagi memberi sumbangan dan berkongsi daging korban bersama dengan golongan fakir miskin dan asnaf.
Seramai 33 penerima bantuan fakir miskin dan asnaf telah menerima wang saguhati sebanyak RM50 seorang berserta 2 kilogram daging korban. Pada program kali ini Pejabat Baitulmal MAINS Cawangan Seremban telah menyumbang sebanyak 2 ekor lembu, Madrasah As’Syifa Seremban 2 sebanyak 3 ekor dan 3 ekor lembu lagi disumbangkan oleh orang persendirian. Keseluruhan jumlah korban adalah 8 ekor lembu.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pegawai Baitulamal MAINS Cawangan Seremban,Ybhg Ustaz Shamsuddin Abdullah. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas segala bantuan sepanjang menjalankan program ibadah korban ini dan berharap tahun – tahun akan datang lebih ramai penderma yang bermurah hati untuk melakukan ibadah korban.
Turut hadir,Pegawai Ketua Kampung Sg Machang Hulu, Ybhg Tuan Haji Tarmizi bin Selamat.

Tempat: Masjid Kariah Gugusan Felda Raja Alias, Bandar Sri Jempol
Tarikh: 10 Oktober 2013
Bandar Seri Jempol - Baitulmal MAINS Daerah Jempol telah memperuntukkan sejumlah RM 16,100 bagi bantuan Fiddiyah kepada 161 penerima yang terdiri daripada asnaf fakir dan miskin dari 17 kariah sekitar gugusan felda Raja Alias ini.
Menurut Pegawai Baitulmal Daerah Jempol, Ustazah Nursyahidah Abu Bakar, program yang dianjurkan ini adalah sempena menyambut kedatangan Hari Raya Aidiladha dimana dengan saluran yang diberikan akan dapat memberi makna kepada golongan asnaf seterusnya bersama merasai nikmat Aidiladha.
"Setiap penerima diberi sumbangan RM100 setiap orang dimana sumbangan yang diberikan ini adalah dari kutipan dana fiddiyah yang dijalankan Pusat Zakat Negeri Sembilan untuk diagihkan kepada sasaran kami, para asnaf dan fakir di daerah ini," katanya.
Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadhan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadhan tahun berikutnya.
Hukum membayar fidyah adalah WAJIB . Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya. Sekiranya bilangan hari tersebut telah melangkau tahun, maka kadar fidyah bagi hari tersebut akan digandakan.
Terdahulu, para penerima fiddiyah telah menunaikan Solat Dhuha berjemaah sebelum disajikan dengan segmen ceramah oleh Ustaz Bakhtiar Mohd Yussof, Penceramah Bebas Negeri Sembilan.





JEMPOL - Sejumlah RM13'000 telah dikeluarkan pihak Baitulmal MAINS bagi 130 penerima bantuan Fiddiyah dari 8 kariah di daerah ini menerima RM100 setiap orang, dimana penerima tersebut di kalangan asnaf fakir miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurut Pegawai Baitulmal MAINS Daerah Jempol, Cik Nursyahidah Abu Bakar, menjadi matlamat Baitulmal untuk memberi tumpuan kepada golongan asnaf selain menjadikan setiap program penyampaian tersenbut dihiasi dengan majlis-majlis ilmu.
"Bagi pihak Baitulmal, amat berharap sambutan yang menggalakkan dalam setiap sesi majlis ilmu diadakan, dapat memberi iktibar dan manfaat kepada masyarakat bukannya sekadar hadir untuk menerima bantuan," jelasnya yang turut menyampaikan bantuan tersebut.
Penerima yang mendapat bantuan Fiddiyah tersebut turut melahirkan rasa syukur atas sumbangan yang sedikit sebanyak meringankan mereka dalam meraikan Aidiladha tidak lama lagi.
Terdahulu para penerima disajikan dengan ceramah ilmu oleh Ustaz Zulkiffli A Rahman, Imam Masjid Kariah Mahsan.

Senawang – Pejabat Baitulmal Daerah Seremban, Majlis Agama Islam (MAINS) telah menganjurkan ‘Taklimat Usahawan Asnaf’ khusus bagi golongan asnaf yang menerima bantuan bulanan daripada Pusat Baitumal Daerah Seremban dan bertempat di Masjid Bandar Baru Senawang.
Taklimat ini diadakan bertujuan bagi memberi pendekatan dan pendedahan kepada golongan asnaf yang sedang dan ingin menjalankan perniagaan. Pada masa yang sama, para peserta telah diberi pendedahan melalui sesi bersama fasilitator jemputan.
Antara fasilitator yang terlibat dalam memberi penerangan adalah Pengurus Usahawan Koperasi & Komuniti Lestari, Megat Mohd Azlan bin Md. Arshad dimana beliau memberi penerangan mengenai kemana hala tuju sesebuah perniagaan yang dijalankan.
Fasilitator kedua adalah Jurulatih Usahawan Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad (KBI), Dr. Abdul Malik bin Abdul Shukor. Beliau pula menerangkan konsep usahawan berjaya dan pemasaran yang berkesan bagi meluaskan jurang dan peluang perniagaan usahawan.
Seramai 50 peserta terdiri daripada penerima bantuan bulanan asnaf telah menghadirkan diri ke taklimat tersebut. Sesi taklimat ini disempurnakan oleh Pengarah Baitumal Negeri, YBhg Ustaz Zainal Said dalam ucapan beliau turut mengesa para peserta supaya mencari dan mengambil segala peluang keemasan yang diberi melalui sesi taklimat ini dan mempraktikkan segala ilmu yang diperolehi supaya dapat menjadi seseorang yang lebih berjaya.
Turut hadir, Pegawai Baitulmal MAINS Daerah Seremban, Ustaz Shamsuddin bin Abdullah.