Monday, 30 September 2013

Majlis Penutup Festival Nasyid, Berzanji & Marhaban Peringkat Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus

Tempat : Dewan Besar, Pusat Dakwah Islamiah, Seremban

Seremban – Festival Nasyid, Berzanji & Marhaban Peringkat Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus telah berlangsung di Dewan Besar, Pusat Dakwah Islamiah, Seremban dengan kerjasama antara Jabatan hal Ehwal Agama islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Objektif utama festival ini adalah bagi memartabatkan seni nasyid tanah air secara professional dan konsisten sebagai satu medium dakwah kontemporari dan memberi kefahaman tentang Islam satu cara hidup yang terbuka kepada masyarakat.

Festival ini merupakan pentas bagi penggiat nasyid di Negeri Sembilan untuk mengetengahkan hasil seni masing – masing dalam industri nasyid tanah air, antara kategori yang dipertandingkan adalah nasyid tradisi, nasyid moden dan kategori sekolah rendah. Tambahan festival kali ini juga mengetengahkan banyak kategori lain antaranya berzanji dan marhaban, pertandingan tulisan khat serta kompang selawat.

Majlis Penutup Festival Nasyid, Berzanji & Marhaban Peringkat Negeri ini telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, YB Dato’ Dr Haji Awaludin Said

Hadir sama, Setiausaha MAINS, Y.Bhg Tuan Kamal Amran bin kamarudin,Mufti Kerajaan Negeri Sembilan YB Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof bin Ahmad dan YB Tuan Haji Abu Ubaidah bin Dato’ Redha, ADUN Ampangan.

Friday, 13 September 2013

Lawatan Kerja Program 5S JAWI ke MAINS



Kejayaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dalam perlaksanaan Amalan 5S mendapat perhatian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) apabila membuat lawatan kerja ke pejabat MAINS hari ini.

Lawatan JAWI ke MAINS adalah untuk berkongsi kejayaan dan pengalaman dalam menjadikan institusi awam menghasilkan peningkatan kualiti dan produktiviti dalam perlaksanaan 5S.

Ketibaan rombongan JAWI yang diketuai En. Mahyudin Bin Sulaiman disambut baik oleh Setiausaha MAINS, Tn. Kamal Amran Bin Kamarudin serta pegawai-pegawai MAINS.

Pada pertemuan itu, rombongan JAWI disambut dengan Salam Ukhuwah dari Setiausaha MAINS sebelum delegasi diberi taklimat pembentangan perlaksanaan 5S oleh Koordinator QE/5S MAINS.

Umumnya, Amalan 5S merupakan alat pengurusan persekitaran berkualiti yang
dipelopori oleh Jepun dengan penumpuan kepada lima (5) langkah tindakan pelaksanaan yang bermula dengan huruf awalan ‛S‟ yang bermatlamatkan pengurusan amalan kebersihan yang bersistematik. Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke adalah perkataan Jepun yang diringkaskan menjadi 5S. Dalam Bahasa Melayu memberi maksud Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.

MAINS ANJUR KONVOI KEMBARA ZAKAT NS 2013

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah mengadakan Konvoi Kembara Zakat Negeri Sembilan pada 4 hingga 5 Jun 2013 dengan bertemakan "Zakat Satu Kewajipan Sejuta Harapan". 
Konvoi ini telah menjelajahi daerah-daerah di Negeri Sembilan bertujuan untuk menjejaki golongan yang berkelayakan menerima bantuan dari dana zakat. Program ini akan memberi kefahaman kepada umat Islam tentang ke manakah wang zakat disalurkan dan betapa besarnya hikmah zakat kepada umat Islam yang memerlukan. Peserta konvoi akan terus ke pintu rumah asnaf untuk menyelami jerih-perih kehidupan mereka seterusnya menyampaikan bantuan zakat di sepanjang konvoi tersebut. 
Program selama 2 hari tersebut dianjurkan oleh MAINS dengan kerjasama Baitumal Negeri Sembilan, Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS), Pusat Kaunseling MAINS, Sekretariat Mahasiswa Timur Tengah (SMATT) bersama media rasmi Radio Negeri Fm dan Akhbar Sinar Harian. Konvoi tersebut juga telah diiringi oleh 3 buah motorsikal dan sebuah kereta peronda polis bagi melancarkan perjalanan kenderaan konvoi dengan melibatkan 17 kenderaan. 
Sebanyak 323 keluarga asnaf di sekitar negeri ini menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dalam konvoi kembara zakat tersebut. 
Program ini bukan sahaja menyampaikan bantuan kewangan malah turut menyalurkan bantuan perubatan, barang keperluan harian, kerusi roda serta katil untuk kegunaan asnaf yang memerlukan. Pihak MAINS juga menyediakan 2 orang doktor perubatan yang telah mendapat tajaan dari dana zakat untuk memberi khidmat pemeriksaaan kesihatan kepada para asnaf di sepanjang persinggahan konvoi tersebut. 
Bantuan ini berbeza mengikut keperluan penerima dan ini merupakan konvoi kali pertama yang diadakan dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan. Antara lokasi yang dilawati dan disampaikan bantuan adalah daerah Seremban (enam keluarga asnaf), Rembau (190 keluarga), Tampin (dua keluarga), Gemas (120 keluarga) serta Jempol (tujuh keluarga). 
Selain memberi bantuan kepada keluarga asnaf peserta konvoi turut beramah mesra bersama 36 keluarga Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Panchor dekat Jeram Padang, Jempol. 
Peserta konvoi telah membuat kunjungan rumah ke rumah dan menyampaikan sedikit bantuan barang keperluan harian. Daripada 36 buah rumah hanya lima buah rumah sahaja merupakan rumah penghuni beragama Islam. 
Ini cara pihak MAINS untuk menyampaikan dakwah dengan cara turun padang mendekati mereka. Peserta konvoi juga menerima layanan baik walaupun ke rumah masyarakat bukan Islam. Selepas mengadakan lawatan ke rumah orang asli peserta konvoi turut mengajak masyarakat Orang Asli bermain futsal. 
Pada hari pertama, peserta konvoi telah singgah di lima rumah asnaf di daerah Seremban bagi meninjau kehidupan mereka iaitu seorang asnaf dari Taman Seri Pagi, dua orang asnaf dari Rumah Pangsa Senawang dn Taman Tuanku Najihah. 

Persinggahan seterusnya pada hari yang sama di Kariah Masjid Kampung Batu Rembau, dimana berlangsungnya majlis penyampaian bantuan kepada 190 orang asnaf termasuk muallaf. Hadir sama, Adun Kota YB Dato’ Dr. Awalluddin Said disamping beliau menyampaikan bantuan dana zakat.
Kembara diteruskan dan singgah di dua rumah asnaf di Kampung Keru, Tampin dan Masjid Kampung Londah Gemas. Pelbagai aktiviti diadakan di masjid antaranya sukaneka bersama penduduk, ceramah motivasi kepada golongan asnaf dan gotong- royong mengecat masjid. 
Aktiviti sebelah malamnya pula, penduduk kampung yang hadir telah dihiburkan dengan persembahan dari penyiar Radio Negeri Fm dan selepas itu diadakan Forum Perdana bertajuk “Zakat 1 Kewajipan Sejuta Harapan”. YB. Tuan Abd. Razak Bin Said ADUN Gemas turut hadir pada program tersebut. 
Hari kedua pula, ahli konvoi menjelajah ke daerah Jempol dengan membuat kunjungan di enam buah rumah asnaf, dua di Rompin, seorang di Kampung Kuala Jempol dan Kampung Serting Hilir dan tiga di kampung Gajah Mati. Kunjungan terakhir peserta konvoi berakhir di Kampung Orang Asli Panchor, Jempol. Pada majlis tersebut Ybhg Ustaz Selamat bin Paigo, Ketua Penolong Pengarah JHEAINS telah hadir sama seterusnya merasmikan acara penutup program. 
Semoga usaha yang dilakukan ini akan dapat menyampaikan dana zakat dengan lebih berkesan, telus dan secara terus ke golongan yang benar-benar memerlukan bantuan. MAINS bercadang untuk melaksanakan program konvoi ini secara tahunan bagi memastikan amanah untuk mengagihkan zakat dapat dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin. 


Sunday, 8 September 2013

Balai Cerap Kompleks Baitul Hilal Teluk Kemang


Balai cerap di Kompleks Baitul Hilal, Teluk Kemang di sini yang mula beroperasi bulan lalu, bakal menjadi daya tarikan terbaru pusat peranginan Port Dickson.

Memiliki teleskop tercanggih di Asia Tenggara serta terbesar di Malaysia bernilai RM1.8 juta, balai cerap itu menjadi pusat kegiatan melihat anak bulan, kajian bintang dan sistem cakerawala bagi menjana kemajuan ilmu falak. Balai cerap ini juga satu usaha meningkatkan kesedaran dalam bidang astronomi pada kalangan pelajar dan orang ramai.

Antara kemudahan yang terdapat di balai cerap setinggi dua tingkat itu ialah dewan yang boleh menampung 200 orang, surau dan bilik kuliah serta galeri yang menempatkan bahan sejarah berkaitan cerapan dan astronomi dalam Islam.

Pengurusan balai cerap ini dilakukan secara usahasama antara Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan Universiti Malaya (UM). Selain balai cerap, Kompleks Baitul Hilal yang terletak di atas kawasan seluas 1.2 hektar itu turut menempatkan sebuah hotel iaitu Klana Beach Resort Port Dickson.

Hotel setinggi tiga tingkat dengan 82 bilik serta tiga apartmen itu mula beroperasi Disember lalu dan tetamunya mempunyai akses untuk terbabit dalam program cerapan anak bulan hijrah yang akan dilakukan setiap bulan oleh jabatan mufti dan UM. 

Projek pembinaan balai cerap dan hotel tersebut adalah usahasama antara Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) yang merupakan pemilik tanah.

Projek menelan belanja RM30 juta yang mana RM18 juta dibiayai melalui peruntukan Jawhar manakala selebihnya peruntukan MAINS.

Bengkel Selami Jiwa Aplikasi - Pusat Kaunseling MAINS


Seramai 50 peserta telah menyertai Bengkel Selami Jiwa Aplikasi yang dianjurkan oleh Pusat Kaunseling MAINS bertempat di Dewan 4, Klana Beach Resort, Port Dickson. Bengkel ini berlangsung selama 3 hari bermula 6 September 2013 hingga 9 September ini.

Bengkel Selami Jiwa yang dianjurkan ini bertujuan bagi memberi kefahaman dan kesedaran pendekatan Creative Art Therapy Berperspektif Islam. Ia juga adalah salah satu kaedah atau pendekatan kontemporari yang boleh digunakan dalam profesyen pertolongan mahupun kebajikan.

Menurut Penyelaras Program, Puan Aminah Nor binti Bujang, bengkel ini juga dianjurkan bagi memberi pendedahan pada peringkat pengenalan mengenai penggunaan khidmat menolong “Islamic Creative Art Therapy” kepada peserta.

Selain itu, ianya dapat mempromosikan Pusat Kaunseling MAINS sebagai satu alternatif perkhidmatan sosial yang ditawarkan untuk manfaat masyarakat.

Hadir sama, Setiausaha MAINS,Tuan Kamal Amran bin Kamarudin serta Ketua Eksekutif PK MAINS, Tuan Hj Norazman bin Amat.

Bengkel Selami Jiwa Aplikasi (Islamic Creative Art Therapy)
Tempat : Dewan 4, Klana Beach Resort, Port Dickson
Tarikh : 08 September 2013
Masa : 12.30 tengah hari – 2.00 ptg

MAKMAL KAJIAN PELAN INDUK TRANSFORMASI PEMBANGUNAN HARTANAH WAKAF DI MALAYSIA SIRI 2

Tarikh : 4 – 5 September 2013
Tempat : Hotel PantaiPuteri (JAWHAR-MAIM), Tanjung Kling, Melaka


Akauntan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merangkap Pengurus Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan (PWNS) iaitu Tuan Haji Azzerol Effendi Bin Abdul Kadir telah dijemput oleh Yayasan Wakaf Malaysia bagi menghadiri Makmal Kajian Pelan Induk Transformasi Pembangunan Hartanah Wakaf Di Malaysia Siri 2.

Tujuan makma lini diadakan adalah bagi menyemak dan memuktamadkan Draf Laporan Akhir Kajian Pelan Induk Transformasi Pembangunan Hartanah Wakaf Di Malaysia. Seramai 22 orang peserta telah dilibatkan dalam makma lini yang terdiri daripadawakil Unit Perancang Ekonom iJabatan Perdana Menteri, Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

Objektif Kajian Pelan Induk Transformasi Pembangunan Hartanah Wakaf Di Malaysia adalah :
 a. Mengenalpasti scenario semasa pengurusan dan pembangunan wakaf di Malaysia serta potensi sebenar instrumen wakaf dalam pembangunan ummah.
 b. Menganalisa situasi semasa pembangunan hartatanah wakaf di Malaysia.
 c. Mengenalpasti kaedah terbaik dan bersesuaian dalam usaha membuka nilai (unlocking the value) harta-harta wakaf
 d. Menghasilkan model-model berikut bagi memastikan pembangunan wakaf pada masa akan datang dilaksanakan secara tersusun, iaitu;
    i. Model PembiayaandanPenjanaan
   ii. Model Pembangunan danPengagihan
   iii. Model PengurusanHartanah
   iv. Model Perniagaan
    v. Model Pusingan Dana Kepentingan Kajian

 a. Memaksimakan pembangunan tanah wakaf di seluruh Malaysia di atas tanah wakaf yang strategik serta boleh dibangunkan segera bagi memberi pulangan maksima kepada pentadbir-pentadbir wakaf sekaligus dapat membantu meningkatkan nilai tanah tersebut;


 b. Membantu MAIN dalam membangunkan tanah-tanah wakaf yang berpotensi terutamanya bagi tanah wakaf yang terletak di bandar-bandar utama Malaysia;

 c. Menentukan gred yang bersesuaian bagi setiap cadangan pembangunan hartanah wakaf seterusnya mengklasifikasikan pelan tindakan bagi pelaksanaan cadangan tersebut;

 d. Memastikan setiap cadangan pembangunan hartanah wakaf adalah relevan dan bukan hanya dijadikan sebagai kajian akademik semata-mata;

 e. Memastikan pembangunan hartanah wakaf berbentuk ekonomi atau sosial berdasarkan kepada lima kategori iaitu agama, pendidikan, kesihatan, makanan dan perumahan serta mengenalpasti projek bagi setiap kategori mengikut keutaman

 f. Mewujudkan alternatif terbaik dalam membantu memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat terhadap amalan berwakaf di samping mewujudkan unit khas R&D yang dapat mengkaji wakaf secara terperinci sebelum dilaksanakan;

 g. Menetapkan pelan tindakan yang holistic untuk diguna pakai oleh semua pihak yang terlibat dalam pembangunan wakaf; dan h. Memastikan pembangunan wakaf menjadi sebagai salahsatu agenda utama pembangunan negara serta dapat dilaksanakan selari dengan pelan dan syarat yang ditetapkan olehpihak berkuasa.

Thursday, 5 September 2013

Lawatan Kerja Majlis Agama Islam P.Pinang Ke MAINS


Lawatan Kerja kakitangan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) di pejabat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah disambut baik oleh Setiausaha MAINS, Ustaz Kamal Amran Kamarudin di Hotel Klana Resort.

Seramai 12 kakitangan MAIPP itu bertujuan untuk berkongsi maklumat dan kejayaan yang telah dicapai oleh MAINS selama 5 tahun ini selain berkongsi pendapat dalam hal ehwal pengurusan Baitulmal.

Lawatan MAIPP yang diketuai En. Nazmi Shukor selaku Pengurus Baitulmal Negeri Pulau Pinang menjadi lambang dan inspirasi MAINS untuk terus mempertingkatkan kualiti kerja selaras dengan visi memperkasakan ummah dan syiar Islam.